Monday, December 10, 2018

MALAIKAT TIDAK BUAT SILAP, YANG SELALU BUAT SILAP ADALAH MAHATHIR

Kenyataan Tun Mahathir bahawa malaikat pun membuat silap dan "U-turn" sangat memalukan. Malaikat tidak berbuat silap kerana mereka tidak dicipta mengandungi hawa nafsu seperti manusia.

Mahathir mungkin keliru antara kisah dalam al-quran mengenai malaikat Harut dan Marut dengan kisah mitos dan tahyul mengenai kedua-dua malaikat tersebut yang bersandarkan hadis-hadis palsu dan kitab israeliyat.

Bagaimanakah seorang Perdana Menteri yang dengan bangga pernah menyatakan beliau membaca terjemahan al-Quran setiap hari tetapi membuat kenyataan yang jelas bertentangan dengan al-Quran.


"Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". 

Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. 

Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.
(Al-Baqarah 2:102) 






Dalam aqidah Islam, jumhur ulama’ menegaskan bahawa para Malaikat itu tidak melakukan kesilapan. Pandangan ini dinyatakan oleh al-Qadi Iyyad dan Al-Imam al-Suyuti. Mereka berhujah dengan dua ayat daripada al-Quran (Surah al-Tahrim: 6 dan Surah al-Anbiya’: 27) yang menggambarkan sifat Malaikat itu menerima arahan dan tidak melakukan kesilapan.  

Said Sabiq pula memetik hadith dari Sahih al-Bukhari yang menyatakan: إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِي السَّمَاءِ ضَرَبَتِ الْمَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ، كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ 



Maksudnya: “Apabila Allah menetapkan suatu arahan di langit, para malaikat mengibas-ngibaskan sayapnya, kerana patuh akan arahan tersebut, firman yang didengarnya itu bagaikan gemerincing rantai besi (yang ditarik) di atas batu rata. (Perkara ini memekakkan mereka (sehingga jatuh pengsan kerana ketakutan). Mereka patuh pada arahan Allah, melakukan apa yang diarahkan kepada mereka.


Menurut Sheikh Hasan Ayyub, pendapat yang menyatakan tentang kesempurnaan Malaikat ini adalah pandangan yang lahir dari kesepakatan jumhur ulama berdasarkan dalil dari Quran dan Sunnah. (Said Sabiq, Aqidah Islamiyyah, 1/114, Hassan Ayyub, Tabsit, 1/186)

al-Imam al-Suyuti juga menggunakan ayat pertama dari Surah Fatir yang menyifatkan Malaikat sebagai utusan (Rasul), dan utusan Allah tidak mungkin melakukan kesilapan. (Umar Sulayman al-Ashqar, Alam al-Malaikat, 1/26).

Namun menurut al-Imam al-Qurtubi pula, terdapat juga mereka yang berpandangan bahawa Malaikat melakukan kesilapan. Mereka memetik pandangan dari ahli kitab (dikalangan Yahudi dan Kristian) berhubung kisah Harut dan Marut. Kisah ahli kitab ini sangat ganjil apabila mereka menggambarkan Malaikat tersebut telah meminum arak, menyembah berhala dan membunuh bayi.

Atas dasar itu itu, pandangan ini ditolak keras oleh sarjana Muslim termasuklah al-Imam al-Qurtubi, Ibn Kathir dan Sheikh Atiyyah Saqar. Menurut mereka, sandaran hujah Israiliyyat (kisah yang datang dari Bani Israel) yang dibawa oleh mereka ini disifatkan sebagai daif (lemah) bahkan bertentangan dengan al-Quran dan usul aqidah Islam. (Tafsir al-Qurtubi, 2/52, Umar Sulayman al-Ashqar, Alam al-Malaikat, 1/26).

Adalah sangat jelas menurut al-Quran, para Malaikat itu disifatkan sebagai makhluk yang sangat taat pada Allah serta tidak melakukan kesilapan dan dosa.

Sekiranya Malaikat melakukan kesilapan, barangkali nyawa orang lain yang di ambilnya dahulu, wahyu barangkali diutus pada orang yang salah, bahkan catatan amal juga mungkin boleh tersilap.
Moga Allah membimbing kita semua.


Ada juga yang memetik surah al-Baqarah ayat 32 tanpa membaca ayat-ayat awal yang jelas malaikat hanya meminta penjelasan kepada Allah mengenai pemilihan manusia sebagai khalifah di muka bumi. 

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
(Al-Baqarah 2:30)

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".
(Al-Baqarah 2:31)

Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
(Al-Baqarah 2:32) |

No comments: